Thursday 22 January 2009

Maybank minta pelanggan musnah e-mel palsu


(Sumber daripada Berita Harian-Sabtu 10 Januari 2009)

KOTA BHARU: Kumpulan perbankan terbesar di Malaysia, Malayan Banking Berhad (Maybank) meminta pelanggannya memusnahkannya dengan segera, sekiranya menerima satu e-mel yang meminta diberikan maklumat atau nombor akaun Maybank mereka. Jurucakap Maybank, berkata bank itu tidak pernah bertindak menghantar sebarang khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel kepada pelanggannya dengan menyuruh mereka memberikan maklumat persendirian atau akaun.

Malah katanya, Maybank juga tidak pernah sekali-kali menyuruh kakitangannya meminta maklumat sedemikian daripada pelanggan bank berkenaan. “Pelanggan Maybank diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang e-mel yang diterima hanya berdasarkan kepada logo atau nama pengirimnya tertera nama bank berkenaan. Dinasihatkan jangan memberi nombor PIN atau kata laluan serta nombor akaun apabila ada menerima e-mel yang meminta berbuat demikian.


“Sekiranya pelanggan sudah berurusan dengan e-mel berkenaan, mereka diminta segera menghubungi Maybank berdekatan untuk mendapat pengesahan atau membuat laporan mengenai perkara berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau memberitahu Berita Harian apabila diminta mengulas mengenai satu e-mel bertajuk ‘Berhati-hati: Masalah Akaun-2009’, yang dihantar kepada seorang wartawan akhbar ini, baru-baru ini. E-mel berkenaan yang beralamat, alerts@xservice-maybank2u.com dengan diakhiri dengan ucapan terima kasih dari Maybank Berhad, menyatakan kumpulan keselamatan bank itu sudah mengesan masalah keselamatan yang serius dalam akaun bank pelanggan. Dimaklumkan bahawa akaun itu tidak dilindungi dengan sempurna dari serangan spam dan Trojan.


Bagi perlindungan segera, adalah penting untuk meningkatkan ciri keselamatan akaun menggunakan M2U yang selamat pada alamat http://www.2009-irstservice.com/M2ULogin.htm Jurucakap itu berkata, pelanggan Maybank diingatkan supaya jangan melakukan sebarang logon ke dalam pautan sesawang terdapat pada e-mel yang diterima. “Pelanggan Maybank harus sentiasa menggunakan laman web rasmi yang disediakan iaitu pada Maybank2u.com,” katanya. Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, Maybank tidak pernah menghantar e-mel meminta pelanggannya mengemaskini maklumat peribadi dengan memasukkan pin nombor atau nombor keselamatan akaun.

Naib Presiden yang juga Ketua Perbankan Maya Maybank, Ahmad Shareza Abdul Rahman, berkata ada sindiket tertentu dipercaya menggunakan taktik sedemikian bagi mencuri wang pelanggan di bank ini. “Laman web perbankan kami selamat, namun pengguna perlu berhati-hati dengan penipuan memandangkan ia adalah masalah industri yang boleh memberi kesan kepada sektor kewangan dan tidak terhad kepada Maybank saja,” katanya.

0 comments:


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by Interior Design. Powered by Blogger